JIKA terowong menjadi nadi kehidupan kebanyakan warga Semenanjung Gaza, bagi Hamas, terowong adalah paksi kekuatan ketenteraannya.
Ini diakui Komander Israel bahawa pergerakan Islam masih memiliki jumlah senjata yang besar dan mempunyai lebih 20,000 pejuang terlatih yang mana mereka bergerak melalui terowong jauh di bawah sempadan Mesir.
Terowong ini adalah kunci memastikan kuasa politik dan ketenteraan Hamas yang bukan saja menjadikan mereka sasaran serangan Israel malah menjadi isu utama dalam rundingan gencatan senjata.
Selain sebuah terowong yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi yang sudah diketahui Israel, ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir.
Pengarah Pusat Pengajian Strategik Begin-Sadat Universiti Bar-Ilan Israel, Prof Efraim Inbar, percaya kerajaan Israel bertanggungjawab pada kewujudan pelbagai terowong ini.
" Israel tidak melihatnya sebagai serius pada awalnya. Malah tidak menggunakan sumber dan wang yang ada untuk mengesan dan menghentikannya. Masalah yang dihadapi Israel sekarang adalah mereka perlu memusnahkan semua terowong ini dan memastikan ia tidak akan dibina pada masa depan," katanya,
Terowong yang berselirat di bawah tanah Semenanjung Gaza memiliki sejarah yang panjang. Ia dibina bertahun dulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan.
Terowong menjadi laluan pelbagai benda, daripada anak kambing kepada roket. Malah, ada yang hanya dikhaskan untuk golongan kenamaan dengan laluan yang lebih pendek.
Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong ini dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas. Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.
Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat membekalkan jurutera tentera yang boleh membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphi. Amerika Syarikat bersetuju pada prinsipnya walaupun tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran.
Ketakutan Israel pada terowong di Gaza yang semakin banyak dibuka semula amat jelas apabila mereka meminta pihak berkuasa antarabangsa memantau gencatan senjata.
Malah, Israel cuba untuk memusnahkan jaringan bawah tanah ini dengan bom jenis bunker-busting (bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah) yang diperoleh dari Amerika Syarikat.
Nicholas Pelham, penganalisis dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata, penutupan terowong ini secara kekal adalah proses utama dan berpanjangan.
"Tanpa memperoleh semua wilayah, sukar untuk menutup terowong ini dalam masa yang lama," katanya.
Apa yang membuat Israel lebih bimbang apabila sayap bersenjata Hamas, Briged Izz Al-Din Al-Qassam menggunakan terowong untuk persiapan perang. Sayap itu dikatakan menghantar ribuan pejuang untuk berlatih di Iran dan Lubnan melalui terowong, taktik yang digunakan secara berjaya oleh Hizbollah bagi menentang Israel pada 2006.
Menurut seorang Komander Hamas, satu daripada pelajaran yang dipelajari daripada terowong adalah ia mengurangkan risiko yang diambil apabila menyerang balas.
"Jangan ledakan bom di situ, gali terowong dan gunakan wayar peledak bagi membolehkan misil dilancarkan dari jauh. Jadi, Hamas hanya akan kerugian tiub atau alatan menembak yang hanya berharga RM30.20 dan bukan pejuang," katanya.
Komander Islam Jihad, Abu Bilal yang beroperasi secara bebas di Gaza, mengakui serangan roket secara psikologinya memusnahkan Israel tetapi memiliki impak ketenteraan yang sedikit.
"Kami tidak boleh berbuat apa-apa selain serangan roket dan harapan mereka memasuki Gaza . Kami berdoa supaya kereta kebal masuk ke kawasan kami, semua pejuang akan menunggu peluang untuk membunuh mereka," katanya.
Rangkaian persenjataan Hamas termasuk misil Qassam yang dihasilkan di Gaza dan roket tiruan Russia yang dihasilkan di China . Semua itu diseludup melalui sempadan selain mortar, mesingan, bom, pelancar roket dan pelbagai senjata perang lain yang diimprovisasi.
Hamas juga mewarisi stok senjata infantri Amerika Syarikat dan amunisi yang ditinggalkan Pergerakan Fatah apabila pejuangnya keluar dari Gaza pada 2007.
Hamas juga meningkatkan struktur ketenteraannya dengan lima briged di bawah komander berbeza yang melapor kepada Ketua Izz Al-Din Al-Qassam. Mereka juga dilatih bergerak dalam unit individu jika keadaan memerlukan.
Selain itu, pejuang Hamas juga meningkatkan propaganda melawan persenjataan Israel . Dengan wartawan yang dihalang memasuki Palestin oleh tentera Israel, laman web Hamas - Pusat Maklumat Palestin (PIC) adalah senjata utama bagi mendapatkan sumber berita. Ia menyiarkan berita duka berikutan serangan Israel dan ikrar untuk menyerang wilayah yang dikuasai Israel .
PIC juga memberi alamat web yang lain jika laman web itu gagal dicapai. Ini kerana Israel sentiasa mencari jalan memusnahkan Hamas termasuk mengganggu stesen TV Hamas, Al-Aqsa dengan menyelitkan kartun menunjukkan pejuang Hamas diletupkan dengan nasihat 'anda tidak akan berjaya'.
Info
Terowong Gaza
- Ada lebih 750 terowong di bawah bumi Gaza dan satu daripadanya ditemui Israel dikenali sebagai Koridor Philadephi.
- Terowong yang biasa untuk penyeludupan barangan pengguna panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter dengan kedalaman antara 15 hingga 30 meter.
- Pembinaan mengambil masa paling kurang enam.
- Upah menggali RM480 sehari.
- Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan bernilai RM128 juta dan semuanya dibawa melalui terowong melalui Mesir.
- Jaringan bawah tanah ini juga sumber pendapatan dan senjata bagi pergerakan Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.
.
No comments:
Post a Comment